Pembunuhan Kevin Morais: Hukuman enam lelaki kekal

Putrajaya, Mac.
Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam lelaki atas sabitan kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, sembilan tahun lalu.

Lelaki terbabit iaitu bekas pakar patologi, Kolonel Dr R. Kunaseegaran, 61; pemberi pinjaman wang, S. Ravi Chandran, 53; dan empat penganggur, R Dinishwaran, 32;            A. K. Thinesh Kumar, 31; M. Vishwanath, 34; serta S. Nimalan, 31.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin, sebulat suara memutuskan keputusan itu. Pada 10 Julai 2020, semua lelaki berkenaan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah membunuh Kevin Morais.

Mereka didakwa membunuh Kevin Morais, 55, di sebuah lokasi di sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi hingga 8 malam, 4 September 2015.

Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Mendiang dilaporkan hilang pada tarikh terbabit dan kali terakhir dilihat meninggalkan kondominium dengan menaiki kereta Proton Perdana dari Menara Duta, Kuala Lumpur, ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.

Mayatnya ditemui dalam tong dram yang diisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September tahun sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here