Kuala Lumpur, Apr.
Bekas pegawai kadet tentera laut memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa mulut mendiang J. Soosaimanicckam berbuih, tapak tangan berdarah, dan badannya lebam sebelum meninggal dunia.
Christian Bernard Unto, 31, yang kini bekerja sebagai eksekutif kanan sebuah syarikat swasta, berkata kejadian itu berlaku apabila seorang pegawai berpangkat leftenan muda dikenali sebagai R. Rashwin meminta beliau membuka baju si mati semasa berada dalam tandas.
“Pada waktu itu, saya sedang bersiap-siap untuk pergi makan tengah hari dan apabila tiba di sana, saya melihat Soosaimanicckam tidak respons, tapak tangannya berdarah, mulut berbuih, dan dia terberak dalam bilik mandi.
“Walaupun dia tidak memberi respons, dia masih boleh berjalan ke (biliknya), dia kemudian duduk di katil…dia macam nak pengsan tetapi saya cuba bangunkan dia dan lap mulutnya yang berbuih.“Saya tampar dia supaya dia respons tetapi dia tidak respons.
Kemudian saya memanggil Rashwin untuk segera membawa mangsa ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut dan semasa angkat mendiang di lobi (kolej kediaman), dia (Soosaimanicckam) meninggal dunia,” katanya yang turut memaklumkan bahawa beliau tidak ke HAT bersama mangsa.
Saksi plaintif keempat itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh peguam Latheefa Koya yang mewakili S. Joseph selaku plaintif dalam samannya terhadap 11 individu antaranya kapten dan pegawai tentera laut, panglima tentera laut, Majlis Angkatan Tentera Malaysia, menteri pertananan, dan kerajaan Malaysia.
Menurut Bernama, semasa pemeriksaan balas oleh Peguam Kanan Persekutuan Nur Ezdiani Roleb, saksi itu tidak bersetuju bahawa keterangan yang menyatakan beliau melihat si mati dalam keadaan penat hanyalah dakwaannya.
Saksi plaintif kelima yang juga bekas pegawai kadet tentera laut, Sammy Danielle Anak Sitibun, 37, pula memaklumkan mahkamah bahawa Soosaimanicckam diberi latihan dua kali ganda dan diasingkan sekiranya tidak dapat membuat latihan kadet.-FMT