Kuala Lumpur, Mei
Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan untuk memperkasakan masyarakat India membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan mereka, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kerajaan mengambil pendekatan untuk membantu setiap segmen masyarakat tanpa mengetepikan mana-mana golongan.
“Kita ambil pendekatan untuk membantu (Bumiputera) tetapi ini tidak bermakna zero-sum game, tolong Melayu maknanya kita pinggirkan (golongan lain), tidak.
“Sebab itu saya tegaskan dengan masyarakat India janganlah marah atau cemburu tentang program Bumiputera. Tanya apa yang perlu kita lakukan, kewarganegaraan orang yang berhak, yang ketinggalan, 50, 60 tahun dulu lahir di Malaysia tak dapat (kewarganegaraan).“Itu kita selesaikan dan ini kali pertama yang selesai begitu banyak oleh Kementerian Dalam Negeri,” katanya pada program ‘Soal Jawab Perdana Menteri’ yang disiarkan semua stesen TV tempatan, lapor Bernama.
Mengulas lanjut, Anwar berkata antara bantuan diberikan kepada masyarakat itu ialah peruntukan RM100 juta menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) dan RM30 juta Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dalam Belanjawan 2024.