Shah Alam, May-
Kes serangan jantung, strok dan masalah pembekuan darah yang berlaku kini tiada kaitan dengan vaksin AstraZeneca.
Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia kerana tiada lagi program vaksinasi menggunakan vaksin berkenaan kebelakangan ini.
“Kesan sampingan yang dikaitkan dengan vaksin AstraZeneca adalah kesan darah beku atau Vaccine Induced Immune Thrombotic Thrombocytopenia (VITT).
“Ia adalah penyakit darah membeku bersama dengan sel darah kuning menjadi kurang. Perkara ini hanya berlaku dalam sela masa empat hari hingga empat minggu (sebulan) selepas menerima vaksinasi,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, X pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, pihaknya pada ketika itu telah menerima laporan berkenaan VITT, namun vaksin itu perlu digunakan untuk program vaksinasi kerana kadar kematian akibat Covid-19 dalam kalangan masyarakat yang tidak divaksin amat tinggi.
Bagaimanapun, Noor Hisham berkata, golongan berisiko tinggi adalah individu yang mempunyai sejarah pembekuan darah sebelum ini dan mereka tidak dibenarkan menerima vaksin jenis AZ.





















