Kuala Lumpur, Jun-
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat terutamanya di sebelah petang di kebanyakan negeri mulai hari ini hingga Ahad.
Menerusi hantaran yang dikeluarkan hari ini, ribut petir dan hujan lebat diramalkan di Perlis dan Kedah membabitkan daerah di Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.
Selain itu, METMalaysia meramalkan ribut petir dan hujan lebat di sekitar Pulau Pinang serta Perak di daerah Kerian, Larut, Matang dan Selama.
Cuaca buruk turut menjejaskan Sarawak iaitu di Kuching (Bau dan Kuching), Sibu (Selangau), Mukah (Matu, Dalat dan Mukah), Kapit, Bintulu dan Miri (Telang Usan).
Pada Sabtu, kebanyakan kawasan di Semenanjung diramal hujan dan ribut petir termasuk di Perak, Kelantan dan Terengganu manakala di sebelah malam, hujan diramal di beberapa kawasan di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.





















