Suria Raj didakwa bunuh isteri

Klang, Jun-
Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh isterinya yang ditemukan dengan kesan kelar di leher dan tangan kanan di sebuah rumah di Bandar Botanik, minggu lalu.

S. Suria Raj, 31, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada lelaki itu kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Suria didakwa membunuh A. Kirshashini, 28, di dalam bilik tidur di sebuah pangsapuri di Jalan Palma, Bandar Botanik antara 6.30 hingga 7 pagi pada 7 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan sebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Jannah Aimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Siti Zubaidah kemudiannya menetapkan 3 Sept ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan ujian DNA dan kesihatan mental.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Klang Selatan Cha Hoong Fong berkata mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di atas katil dengan kesan kelar di leher dan tangan kanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here