George Town, Ogos-
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo mula bertugas hari ini, dua hari sebelum cuti sakitnya yang dilanjutkan tamat.
“Saya seorang ‘workaholic’. Saya tak boleh hanya duduk di hospital tak buat apa-apa,”katanya pada majlis pelancaran kilang pembuatan Enovix Corporation.Menurutnya, beliau turut singgah ke pejabatnya semalam.
Adun Datok Keramat itu, yang mula bercuti pada 22 Julai, pada mulanya dijadualkan kembali bertugas pada 5 Ogos. Beliau bagaimanapun meminta lanjutan empat hari berdasarkan nasihat doktornya, yang diluluskan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Hari ini, Jagdeep berkata, kerja penting baginya dan beliau tidak boleh berlama-lamaan tidak bekerja.
“Jadi saya hadir di sini. Tengoklah sendiri, saya nampak sihat, kan?”Jagdeep sebelum ini memberitahu, beliau berada di Negeri Sembilan untuk mendapatkan pandangan kedua mengenai kecederaan buku lali yang menurutnya menyebabkan beliau merasakan sakit yang teruk selama beberapa bulan.
Katanya, beliau juga sedang mendapatkan rawatan di Kuala Lumpur untuk psoriasis, sakit kulit yang menyebabkan tompokan mengelupas di seluruh badan.
Enovix Corporation, yang terlibat dalam teknologi bateri berprestasi tinggi, merancang melabur sejumlah USD1.2 bilion (RM5.8 bilion) di Malaysia dalam tempoh 15 tahun akan datang.





















