Putrajaya, Ogos-
Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara 33 tahun ke atas seorang wanita dan adiknya kerana membunuh suaminya yang buta di Kampung Baru Sungai Chua, Kajangempat tahun lalu.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Ruzima Ghazali, berkata rayuan oleh S. Angela Dewi, 48, dan adiknya S .Vijaya, 44, tidak mempunyai merit, mengambil kira keterangan saksi.
“Sabitan membunuh adalah selamat dan kami mengesahkan dapatan itu,”katanya dalam keputusan lisan ringkas.
Turut bersidang mendengar rayuan itu ialah Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan Noorin Badaruddin. Bagaimanapun, mahkamah menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi September lalu dengan hukuman penjara.
Angela diperintahkan untuk memulakan hukuman penjaranya pada 10 Okt 2020 dan Vijaya mulai 17 Okt 2020. Vijaya turut diperintahkan untuk diberikan sekurang-kurangnya 10 sebatan kerana umurnya di bawah 50 tahun.
Kedua-duanya melakukan kesalahan itu terhadap R. Devarajoo, 59, di sebuah rumah di kawasan perumahan kos rendah PKNS di Kampung Baru Sungai Chua, Kajang antara waktu tengah hari hingga 1 petang pada 1 Okt 2020.
Dilaporkan bahawa Angela telah memberitahu polis telah berlaku rompakan di rumahnya dan suaminya, yang menjalankan perniagaan pengangkutan dan besi buruk, telah dipukul di kepala.
Polis dipetik sebagai berkata siasatan mereka mendedahkan insiden itu mungkin ada kaitan dengan pewarisan harta.




















