Kerja baik pulih paip pecah mengakibatkan kerosakan jalan!

Kuala Lumpur, Sep-
Kerja mengorek tanah di Jalan Sultan Ismail dijalankan Air Selangor berikutan paip pecah di kawasan terbabit.

Dewan Badaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan hasil siasatan mendapati terdapat paip Air Selangor yang pecah sehingga menyebabkan kerosakan pada permukaan jalan.

“Kerja baik pulih sedang giat dijalankan. Bagi kerja baik pulih jalan tidak rata akibat tekanan daripada air, ia akan bermula pada jam 8 malam ini dan dijangka siap sepenuhnya pada jam 5 pagi keesokan harinya,” menurutnya dalam Facebook rasminya, hari ini.

Sebelum itu, tular di media sosial video yang mendakwa berlakunya satu insiden lubang benam atau ‘sinkhole’ berdekatan Jalan Sultan Ismail menghala ke Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur.

Video berdurasi 10 saat yang tersebar itu menunjukkan anggota bomba sedang mengawal satu kawasan jalan yang seakan-akan mengalami mendapan tanah.

Jalan yang terjejas itu turut ditutup dengan kon dan pita kuning manakala aliran air didapati turut berlaku di lokasi.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGOKL) berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu menerusi talian MERS 999 5.04 pagi.

“Pemanggil memaklumkan berlaku paip pecah di bawah tanah, lalu 13 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dikerahkan ke lokasi.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian pada 5.13 pagi mendapati terdapat kebocoran membabitkan paip bawah tanah milik pihak Air Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here