Shah Alam, Sep-
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan proses tindakan lanjut berkaitan isu Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dipercepatkan.
Menteri Besar Amirudin Shari, berkata perkara itu antara ditekankan Sultan Selangor ketika sesi pertemuan mingguan hari ini, selain baginda berpandangan pasukan siasatan perlu lebih cekap meneliti sebarang kesalahan berkaitan GISBH termasuk kes jenayah.
“Pada sesi pertemuan tadi, isu GISBH tidaklah dibincang secara spesifik, namun baginda meminta supaya tindakan lanjut dipercepatkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Dialog Belanjawan Selangor 2025.





















