Kes kematian pengawal keselamatan, Jabatan Peguam Negara setuju pinda pertuduhan

Selepas polis mengklasifikasikan semula kes kematian pengawal keselamatan yang sebelum ini diserang dalam kejadian di Ipoh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Jabatan Peguam Negara bersetuju untuk meminda pertuduhan, kata Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid.

Beliau dalam kenyataan berkata, tertuduh akan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan pindaan daripada Seksyen 335 Kanun Keseksaan kepada 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis telah menjalankan satu siasatan konklusif dan komprehensif di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh sebaik sahaja kematian pengawal keselamatan itu dilaporkan pada 27 Ogos lalu.

“Justeru, polis memohon agar tiada mana-mana pihak membuat sebarang tanggapan negatif terhadap pihak polis yang masih dan sedang menjalankan siasatan sehingga kes ini diputuskan oleh pihak Jabatan Peguam Negara,” menurut beliau.

Noor Azhar Muhammad, yang dilaporkan merupakan ahli Pemuda Bersatu bahagian Kota Baru, sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan kerana menyerang Thava, 64, menggunakan meja di sebuah kondominium di Ipoh pada 29 Dis 2020.

Dia dibenarkan diikat jamin sehingga sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Ipoh. Thava dilaporkan diserang kerana enggan membenarkan anak lelaki Azhar menggunakan kolam renang yang ditutup pada masa itu.

Thava dimasukkan ke hospital selepas serangan itu dan menjalani lapan pembedahan di kepala.Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru tetapi keluarganya mendakwa kesihatan Thava merosot disebabkan kesan serangan itu.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here