MBS sita peralatan premis GISBH di Seremban

Seremban, Sep-
Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menyita peralatan niaga di beberapa premis milik GISB Holding (GISBH) di Garden Homes, Seremban 2, dekat sini, hari ini.

Tindakan diambil antara lain selepas premis perniagaan itu dikesan beroperasi tanpa lesen sah, selain membina struktur tambahan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Setiausaha MBS, Mas Midyawan Yahya, berkata terdapat enam premis dikaitkan kumpulan itu, namun rekod pemeriksaan mendapati hanya satu mempunyai lesen perniagaan sah.

“Hari ini kami menjalankan pemeriksaan ke atas enam premis yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISBH, namun semua premis tidak beroperasi. “Berdasarkan rekod hanya satu premis mempunyai lesen, satu premis dengan lesen tamat tempoh, manakala empat lagi tidak berlesen,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tiga premis diberikan notis kerana beberapa kesalahan mengikut akta diperuntukkan bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan notis sitaan turut dikeluarkan. Antara kesalahan termasuk halangan tempat awam akibat meletakkan barang perniagaan di kaki lima awam, ubah suai premis tanpa kebenaran dan pemasangan awning (bumbung tambahan) tanpa permit.

Selain itu, Mas Midyawan berkata, ada antara premis terbabit pernah dikenakan kompaun sebelum ini atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa kebenaran.

“Mengikut rekod premis tidak berlesen sebelum ada membuat permohonan lesen perniagaan, namun ditolak kerana tidak memenuhi syarat seperti kesalahan ubah suai bangunan,” katanya.

Turut disita pada operasi hari ini adalah gerai bawah khemah yang menjual kuih-muih dipercayai turut dijalankan pekerja GISBH.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here