Kuala Lumpur, Nov-
Beg berisi wang tunai RM1 juta yang dilaporkan hilang selepas proses kutipan oleh sebuah syarikat keselamatan dari sebuah bank di Ampang Point, Ampang semalam sudah ditemui dan diserahkan kepada polis.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi, ketika mengesahkan perkara itu berkata, beg itu ditemui di Jalan Hulu Kelang menuju ke Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) arah ke ibu negara, tidak lama selepas kejadian.
Katanya, beg berisi wang itu dipercayai terjatuh di atas jalan ketika van syarikat keselamatan itu melalui satu laluan berselekoh.
“Beg berisi wang RM1 juta itu terjatuh di tengah jalan sebelum ditemui seorang pemandu kereta yang melalui laluan berkenaan.
“Beg berkenaan sudah pun diserahkan kepada pihak polis dan siasatan lanjut kini sedang dijalankan termasuk merakam keterangan individu yang menemui beg itu serta petugas van keselamatan,” katanya.



















