Pendawaian punca kebakaran Flat Sri Sabah

Kuala Lumpur, Feb 13.
Kebakaran di Flat Sri Sabah di Cheras, Sabtu lalu berpunca akibat masalah pendawaian elektrik dan bukannya tercetus akibat bunga api seperti didakwa.

Pengarah Jabatan Bomba Kuala Lumpur Muhammad Salleh Abdul berkata siasatan mendapati masalah itu dikesan pada papan litar pengedaran elektrik di salah satu unit rumah terletak di tingkat 17, Blok 70 di flat terbabit.

“Dakwaan kebakaran disebabkan bunga api tidak benar dan siasatan forensik kita juga mengesahkan kebakaran tersebut disebabkan pendawaian elektrik tertumpu di ‘Distribution Board’ 90% (punca) disebabkan itu,” katanya pada sidang media di pusat pemindahan sementara di SK Sri Cheras.

Menurut Muhammad, kebakaran di unit rumah tersebut kemudiannya merebak ke lima rumah yang lain di tingkat yang sama.Sementara itu, Muhammad turut menafikan dakwaan pili bomba di kawasan blok perumahan tersebut tidak berfungsi ketika kejadian.

“Dakwaan pili bomba tidak boleh digunakan, yang dikatakan pengadu bukan pili bomba tapi alat bantu mula semasa kebakaran. Pengadu berusaha guna alat itu bukan pili bomba.

“Semua pili bomba di blok berfungsi cuma tekanan kurang sikit dan semasa kebakaran kita terpaksa guna jentera untuk pam air,” katanya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Muhammad berkata pasukan petugas khas akan memeriksa semua flat di Kuala Lumpur untuk mengesan kekurangan pada sistem pencegahan kebakaran.

“Kita akan buat segera dan buat siasatan dan cadangan untuk meningkatkan kualiti sistem yang ada dibangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.

Sabtu lalu, enam unit rumah di Flat Sri Sabah musnah terbakar yang didiami lima keluarga. Bagaimanapun, tiada mangsa yang cedera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here