Ipoh, Nov-
Lelaki yang ditahan polis susulan penemuan mayat ibu saudaranya di Taman Puteri Lindungan Bintang, di sini, semalam, dikatakan menyerang mangsa kerana hilang sabar akibat sering dikongkong.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat, berkata suspek berusia 21 tahun dipercayai menumbuk mangsa berkali-kali sehingga jatuh tangga dan pengsan.
Katanya, mangsa berumur 54 tahun kemudian dikatakan dikurung suspek dalam sebuah bilik sebelum kejadian terbongkar empat hari kemudian apabila adik wanita berkenaan yang datang ke rumah terbabit terhidu bau busuk.
“Suspek dipercayai melepas geram dengan menumbuk mangsa berkali-kali hingga jatuh tangga. Disebabkan itu, mungkin mangsa pengsan dan dikurung di bilik selama empat hari.
“Adik mangsa mencari kakaknya namun suspek mengatakan wanita itu berkurung dalam bilik saja. Selepas terhidu bau busuk, barulah adik mangsa membuat laporan polis,” katanya.
Beliau yang memaklumkan perkembangan kes itu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini, berkata hanya mangsa dan suspek tinggal berdua di rumah itu.
Menurutnya, proses permohonan reman serta bedah siasat ke atas mayat dijalankan pada hari ini.
Semalam, media melaporkan mayat seorang wanita yang sudah dalam keadaan membusuk, dijumpai dalam bilik sebuah rumah di Taman Puteri Lindungan Bintang, dipercayai dibunuh.