Shah Alam, Nov-
Perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Alor Setar, Kedah tergendala selama dua jam gara-gara 30 ekor gajah ‘bermain’ dan tidur di tengah jalan.
Kisah berkenaan dikongsi di laman sosial, TikTok milik seorang pemandu lori, Mohd Hisham Yazid, 38, yang memaklumkan perkara berkenaan berlaku di Tasik Banding, Perak pada Jumaat lalu jam 3 pagi.
Menurutnya, dia sering berhadapan dengan insiden haiwan liar mengganggu lalu lintas, namun jumlah gajah tidak banyak seperti kejadian terbaharu itu.
“Ini kerana, saya boleh katakan setiap minggu pasti ‘terserempak’ dengan gajah yang mengganggu lalu lintas di Tasik Banding,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi .
Menerusi rakaman video berdurasi 53 saat itu, ia turut memaparkan seekor gajah bertindak menghampiri sebuah kereta, Mohd Hisham memberitahu bahawa haiwan liar tersebut bertindak sedemikian kerana pemilik kenderaan tidak mematikan lampu.
Jelasnya, cahaya akan menarik perhatian gajah tersebut untuk menghampiri dan bermain.“Kalau terserempak dengan gajah ketika melalui mana-mana kawasan (waktu malam), perlu perlahankan dan mematikan lampu kenderaan.
“Bukan itu sahaja, jangan sesekali keluar kereta atau menonjolkan diri. Itu sahaja tips untuk mengurangkan risiko daripada diserang haiwan liar berkenaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Hisham turut mengingatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati sekiranya terserempak dengan gajah bersama anaknya kerana ia akan bertindak ganas jika berasa terancam.