Ipoh, Dis-
Polis menahan seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental bagi membantu siasatan kes kebakaran tiga pelantar ikan di Pantai Remis, Manjung semalam.
Ketua Polis Manjung, Hasbullah Abd Rahman, berkata suspek 64 tahun itu ditahan di tepi jalan Pantai Remis selepas laporan diterima daripada pemilik premis kira-kira 1.30 pagi Ahad.
Beliau berkata, siasatan pihaknya menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati punca kebakaran disebabkan perbuatan khianat individu dikenali pemilik premis.
“Kebakaran berjaya dikawal pihak bomba dan nilai kerugian dianggarkan sebanyak RM470,000. “Suspek membakar pelantar ikan menggunakan bahan bakar dipercayai petrol dan melarikan diri selepas kebakaran berlaku,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.