Kuala Lumpur, Dis-
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak pernah mengiktiraf atau membenarkan mana-mana warga asing untuk menjadi penjaja dan peniaga kecil.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, malah mengikut Undang-Undang Kecil (UKK) Penjaja, warga asing juga tidak dibenarkan untuk menjadi pekerja atau pembantu di bawah lesen penjaja di premis PBT.
“PBT juga tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing untuk memohon atau memiliki lesen penjaja, peniaga kecil, premis perniagaan, kedai runcit, kedai makan, bengkel kereta dan di pasar-pasar, selaras dengan UUK Penjaja dan UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian.
“Ini kerana kadar sewaan yang ditetapkan oleh PBT adalah di bawah harga pasaran dan bertujuan memberikan peluang perniagaan kepada rakyat tempatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Isnin.
Aiman Athirah berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Setia Salehuddin Saidin mengenai langkah pihak berkuasa dalam menangani isu peniaga warga asing, yang sewenang-wenangnya mendirikan kedai sementara di bahu jalan dan berniaga di pasar malam.





















