Hentikan serta-merta budaya dera di UPNM – Agong

Kuala Lumpur, Dis-
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menggesa panglima dan komandan bertanggungjawab dengan meletak jawatan jika gagal menangani kes dera di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Baginda menzahirkan rasa dukacita dengan penderaan sehingga menyebabkan kecederaan serta kematian di UPNM dan mahu budaya tidak sihat terbabit dihentikan demi memulihkan nama baiknya.

Sultan Ibrahim mengakui bagi latihan fizikal dan mental keras diperlukan bagi melahirkan seorang pegawai tentera tetapi tidak sampai sehingga menyebabkan kecederaan serta kematian.

Lebih mendukacitakan baginda, kejadian penderaan terus berlaku seperti tiada usaha serius diambil mana-mana pihak walaupun kejadian sebelumnya telah dibawa ke mahkamah.

“Falsafah utama UPNM ialah untuk menjadi sebuah universiti utama di rantau ini dalam bidang pertahanan, ketenteraan dan keselamatan. Disiplin dan budaya tentera adalah menjadi falsafah utama universiti ini.

“Jika penderaan terus berlaku, saya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan universiti ini lagi. Panglima dan Komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana gagal menjalankan amanah,” titanya.

Titah baginda pada Istiadat Konvokesyen Ke-14 UPNM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) itu dikongsi menerusi Facebooknya.

Pada 27 Nov lalu, Menteri Pertahanan Khaled Nordin mengumumkan lima pegawai kadet (PK) Akademi Latihan Ketenteraan UPNM diberhentikan dan diarah membayar ganti rugi kerana terbabit dalam tiga kes penganiayaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here