Kesan Psikologi Yang Mendalam Akibat Buli Siber – Dr Vikneswaran

Buli siber memang memberikan kesan mendalam kepada mangsa, tidak kira umur, kerana ia mempengaruhi aspek psikologi, emosi, sosial, dan fizikal. Dengan medium siber yang boleh diakses bila-bila masa, kesannya menjadi lebih kompleks dan berpanjangan berbanding buli tradisional, kata Dr Vigneswaran Subramaniam.

Kita kini hidup di era digital di mana teknologi tidak lagi dapat dipisahkan daripada kehidupan kanak-kanak. Gajet, media sosial, permainan dalam talian, dan aplikasi pembelajaran adalah sebahagian daripada kehidupan seharian mereka. Walaupun teknologi membawa banyak manfaat seperti akses kepada pendidikan, hiburan, dan komunikasi, ia juga membuka pintu kepada pelbagai risiko, termasuk buli siber.

Dr. Vigneswaran menegaskan bahawa keluarga adalah elemen utama dalam mendidik anak-anak tentang keselamatan siber. Pendidikan awal oleh ibu bapa dan penjaga boleh membantu kanak-kanak memahami risiko dunia digital, sekaligus membina asas penggunaan teknologi yang bijak dan bertanggungjawab.

Kita harus sedar bahawa apabila seorang kanak-kanak terdedah kepada tuduhan atau ejekan yang berterusan, terutamanya di platform siber, ia boleh membawa kesan psikologi yang mendalam. Serangan ini sering berlaku secara tidak henti-henti dan pada skala yang luas, menjadikannya lebih sukar untuk diatasi oleh mangsa, terutama kanak-kanak yang masih dalam fasa membina keupayaan emosi dan daya tahan diri.

Selain itu, ejekan yang berulang kali juga boleh menyebabkan mangsa mula meragui kebolehan dan nilai diri sendiri. Pengalaman buli yang teruk boleh menyebabkan trauma emosi jangka panjang (Post Traumatic Stress Disorder), di mana mangsa sentiasa dihantui oleh kejadian yang berlaku.Perasaan malu, takut, dan rendah diri akan menyebabkan mangsa mengasingkan diri dan tidak berinteraksi dengan dunia luar.

‘Isu buli siber harus dipandang sebagai ancaman kepada satu generasi. Masalah buli yang berterusan menjadi faktor utama utama bagi mangsa mengambil langkah untuk bunuh diri’, kata Dr. Vigneswaran.

Beliau juga berpendapat bahawa pemulihan daripada buli siber memerlukan pendekatan yang seimbang dan melibatkan rawatan psikiatri yang profesional. Selain itu sokongan masyarakat yang kukuh juga amat penting  untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan diri mangsa. Dengan sokongan yang tepat, mangsa buli siber dapat dipulihkan dan kembali ke kehidupan yang lebih sihat dan seimbang, kata Dr Vigneswaran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here