Mersing, Dis-
Tiga beranak maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di kilometer 45, Jalan Kota Tinggi-Mersing berhampiran simpang masuk Ladang Arami Jaya, jam 8.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani, berkata nahas membabitkan kereta model Toyota Vios dan Proton Persona.
Katanya, penumpang Proton Persona, Md Yusuf Mukhtar, 71, dan isterinya, Rosnah Salleh, 65 maut di lokasi kejadian manakala anak mereka yang juga pemandu kereta, Muhamad Izuddin Md Yusof, 36, meninggal dunia di Hospital Mersing.
“Siasatan awal mendapati Toyota Vios berkenaan dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Persona dari arah Kota Tinggi.
“Berikutan pertembungan itu, pemandu Toyota Vios parah di perut serta patah tangan kanan dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.”Toyota Vios berkenaan dipandu lelaki warga tempatan berumur 28 tahun dari arah Kuantan menuju Johor Bahru.
“Dua penumpang Proton Persona berumur 65 tahun dan 71 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat parah di kepala.
“Anak lelaki mereka yang memandu Proton Persona itu meninggal dunia di Hospital Mersing akibat cedera parah di kepala,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang turut berada dalam Proton Persona berkenan dilaporkan cedera di kepala dan masih dirawat di HSI, Johor Bahru.”Kanak-kanak itu adalah anak pemandu berkenaan dan dilaporkan stabil.





















