Hukuman 6 sebatan di khalayak selesai dalam tempoh 2 minit

Kuala Lumpur, Dis-
Seorang lelaki menjadi individu pertama disebat di khalayak atas kesalahan khalwat apabila menjalani hukuman itu di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu selepas solat Jumaat tadi.

Pegawai sebat dari Penjara Marang hanya mengambil masa dua minit untuk menyelesaikan hukuman enam sebatan terhadap Mohd Affendi Awang, lapor Astro Awani.Seramai 90 individu termasuk exco kerajaan negeri turut menyaksikan pelaksanaan sebatan diadakan di Dewan ‘AAsim masjid berkenaan.

Terdahulu, Affendi, 42, yang juga tukang rumah tiba di masjid berkenaan kira-kira 2.28 petang dengan diiringi pegawai penjara sebelum dibawa ke bilik khas untuk pemeriksaan kesihatan.

Selepas pegawai perubatan mengisytiharkan Affendi layak menjalani hukuman, ia kemudian dijalankan tepat jam 2.50 petang.

Selesai menjalani sebatan, Affendi dibawa ke bilik khas untuk pemeriksaan kesihatan sebelum dibawa kembali ke Penjara Marang.

Affendi pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah atas tuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Kemaman pada 11 Julai 2023.

Kemudian, dia menjadi pesalah khalwat pertama dikenakan empat sebatan secara tertutup di penjara dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 19 Feb lalu.

Pada 20 Nov lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman enam sebatan di khalayak ramai terhadap Affendi atas kesalahan khalwat berulang, yang juga kesalahan ketiganya.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here