Kuala Lumpur, Dis-
Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden individu dipukul di sebuah kedai makan di Machang Bubok, Bukit Mertajam, yang videonya tular di media sosial.
Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Helmi Aris, berkata pihaknya mengesan video dimuat naik di Facebook pemilik akaun Pertiga Malaysia pada 10 pagi tadi, dan siasatan lanjut mendapati kejadian itu berlaku 2.45 pagi Jumaat lalu.
“Polis mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian tersebut. Lelaki berusia 36 tahun yang ditahan itu direman sehingga 30 Dis.
“Punca kejadian berkaitan perselisihan faham isu peribadi dan tiada kaitan dengan isu perkauman. Suspek telah menumbuk muka dan memukul kepala mangsa menggunakan penutup tong sampah,” katanya memetik Bernama.
Terdahulu tular di media sosial video berdurasi satu minit 36 saat, memaparkan seorang lelaki memukul lelaki yang dipercayai merupakan pekerja kedai makan dan kejadian itu mendapat kecaman warga maya berikutan beberapa individu lain yang berada di situ tidak cuba meleraikan pergaduhan tersebut.