Putrajaya, Dis-
Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 (Akta 861) dan Peraturan-Peraturan Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 akan berkuat kuasa esok, sebagai usaha merealisasikan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan pelaksanaan Akta 861 yang terpakai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan dan diwartakan pada 26 November lepas itu, akan menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih mampan tenaga.
“Akta ini, yang terdiri daripada 10 bahagian utama merangkumi antaranya kewajipan pengguna tenaga dan diperluas kepada pengawalseliaan produk menggunakan tenaga (EUP), akan dilaksanakan di bawah pengawalseliaan ST sebagai agensi penguatkuasaan yang bertujuan meningkatkan lagi kecekapan dan konservasi tenaga,” menurut kenyataan itu.
ST memberitahu antara perkara utama yang digariskan dalam akta itu ialah kewajipan pengguna tenaga yang menggunakan tenaga menyamai atau melebihi ambang 21,600 GJ setahun untuk melantik pengurus tenaga berdaftar, membangunkan dan melaksanakan sistem pengurusan tenaga, menyediakan laporan kecekapan tenaga, dan menjalankan audit tenaga.





















