Butterworth, Jan-
Seorang remaja perempuan ditahan polis selepas menikam ibu saudaranya dengan pisau hingga wanita itu terpaksa dikejarkan ke hospital dalam kejadian di sebuah flat di Jalan Perai Jaya,di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, berlaku pertengkaran mulut di ruang tamu antara suspek berusia 14 tahun dengan ibu saudaranya berusia 35 tahun. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah,
Asisten Komisioner Helmi Aris, berkata punca pertengkaran itu dipercayai selepas suspek yang tidak bersekolah dikatakan mahu tinggal semula dengan ibu kandungnya tetapi dihalang mangsa.
“Semasa pertengkaran itu, suspek tiba-tiba menikam mangsa dengan sebilah pisau dan akibatnya mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut sebelah kiri.
“Mangsa kini menerima rawatan di sebuah hospital dan suspek (anak saudaranya) ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Jelasnya, hasil siasatan polis mendapati suspek tinggal bersama ibu saudaranya sejak empat hari lalu berikutan mempunyai masalah keluarga.