Najib gembira dapat berita cucu baru

Shah Alam, Jan-

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui sedih kerana tidak dapat bersama meraikan perkahwinan anaknya, Mohd Norashman dengan wanita pilihan, Nikola Mulyadi sebelum ini dan menyambut kelahiran cucu baharu, Ardan Razak.

Beliau bagaimanapun gembira dengan kelahiran ahli keluarga baharu dan terus tabah menghadapi ujian.

“Anak saya kahwin, saya tidak dapat hadir. Saya dapat cucu baru, saya tak dapat bersama. Mata berair bila mendengarnya.

“Tetapi kekal tabah, gembira apabila ditunjukkan gambar. Meraikan kedatangan Ardan, kelahiran Ashman dan Nikola,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Khamis.

Najib kini berada di penjara selepas Mahkamah Persekutuan pada 22 Ogos 2022 mengekalkan sabitan ke atas bekas Perdana Menteri itu berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd (SRC).

Bekas Presiden UMNO itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan, dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here