Kuala Lumpur, Feb-
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mendakwa Jabatan Penjara menghalang pihaknya menjalankan siasatan terhadap dakwaan pencabulan hak asasi manusia di Penjara Taiping dan Pusat Koreksional Batu Gajah.
Pada masa sama, SUHAKAM menyuarakan kebimbangan mendalam dan kecaman keras terhadap halangan yang didakwa dihadapi pegawainya ketika menjalankan siasatan rasmi mengenai dakwaan pelanggaran hak asasi manusia yang membabitkan banduan di Penjara Taiping pada 17 Januari lalu.
SUHAKAM mendakwa bahawa pihaknya sudah memaklumkan secara rasmi kepada Jabatan Penjara mengenai hasrat untuk merekod keterangan seorang banduan di Pusat Koreksional Batu Gajah.
“Pada awalnya, kelulusan rasmi sudah diberikan oleh Ibu Pejabat Jabatan Penjara melalui surat.”Namun, sebaik saja pegawai SUHAKAM tiba di Pusat Koreksional Batu Gajah, pegawai kami dihalang daripada menemui banduan itu.
“Sebaliknya, Jabatan Penjara meminta SUHAKAM menangguhkan siasatan itu berikutan siasatan polis sedang dijalankan,” dakwa suruhanjaya berkenaan dalam satu kenyataan, semalam. Media sebelum ini melaporkan Jabatan Penjara mengesahkan berlaku kejadian provokasi di Penjara Taiping pada 17 Januari lalu yang menyebabkan seorang banduan meninggal dunia.


















