Pulau Pinang perkenal kempen tiada beg plastik setiap hari mulai 1 Mac

George Town, Feb-
Pulau Pinang memperkenalkan kempen tiada beg plastik setiap hari di negeri ini, mulai 1 Mac depan, dalam usaha melindungi alam sekitar dan mencapai masa depan yang mampan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S Sundarajoo, berkata ia akan dimulakan dengan kempen pengagihan beg guna semula secara percuma di seluruh negeri bagi menggalakkan penggunaannya dan membantu penduduk beralih kepada amalan lebih lestari.

“Kita akan memberi tempoh enam bulan bagi peringkat penguatkuasaan secara berhemah, iaitu bermula 1 Mac hingga 31 Ogos tahun ini.

“Ia bagi membolehkan perniagaan serta orang awam membiasakan diri dengan peraturan baharu itu, manakala penguatkuasaan penuh akan bermula 1 September depan.

“Untuk permulaan, Pulau Pinang Green Council akan membekalkan 100,000 beg kitar semula kepada penduduk negeri ini selama tiga bulan pertama kempen. Selepas itu, beg berkenaan akan dijual kepada pembeli,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Tiada Beg Plastik Setiap Hari Pulau Pinang 2025 di Terminal Swettenham Pier Cruise, di sini, semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here