Tangkak, Feb-
Dua pekerja maut manakala tujuh lagi cedera selepas mesin di sebuah kilang memproses getah di Tangkak, Johor meletup, petang semalam.
Ketua Polis Tangkak Roslan Mohd Talib berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 2 petang dan siasatan awal mendapati letupan berlaku pada sebuah daripada lima mesin di kilang itu.
Kejadian berlaku ketika dua pekerja sedang melakukan kerja penyelenggaraan ke atas lima mesin yang sedang beroperasi.
“Bagaimanapun, salah satu daripada mesin itu tiba-tiba meletup, menyebabkan sembilan pekerja mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan.
Seorang pekerja berusia 40an disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tangkak manakala seorang lagi mangsa berusia 50an meninggal dunia di Hospital Muar. Kedua-dua mangsa merupakan warga tempatan katanya.
Roslan berkata, tujuh mangsa yang cedera pula terdiri daripada empat warga tempatan dan tiga masing-masing warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar.
Menurutnya, proses bedah siasat dijalankan pagi ini bagi menentukan punca kematian dan kes disiasat sebagai mati mengejut.





















