Zaliha dianugerah gelaran ‘Datuk Seri’, Fahmi ‘Datuk’

Kuala Lumpur, Mac-
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, merupakan antara 32 individu yang dianugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat berkenaan kepada semua penerima di Balairung Seri, Istana Negara di sini.Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, turut berangkat ke istiadat berkenaan.

Zaliha dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Noridah Abdul Rahim yang mendahului senarai penerima masing-masing dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Sementara itu, Fahmi mengetuai senarai sembilan individu yang menerima Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW), yang membawa gelaran Datuk.

Antara penerima PMW yang lain adalah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji Syed Hamadah Syed Othman, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Penasihat Undang-Undang Istana Negara Zulharry Abdul Rashid.

Selain itu, enam individu dianugerahkan Darjah Johan Mahkota Wilayah (JMW), lima individu menerima Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), empat individu dianugerahkan Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan enam individu menerima pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

Istiadat yang berlangsung kira-kira sejam itu, turut dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here