Johor Bahru, Mac-
Tindakan seorang warga emas menampar pemuda bukan Islam berkali-kali hanya kerana makan di khalayak ramai ketika Ramadan ini di Johor, disifatkan provokasi yang tidak mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian negara.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, menegaskan tindakan sedemikian harus dihentikan serta-merta dan tidak dibenarkan berkembang di negara ini yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara.
“Saya juga mengutuk keras sebarang bentuk keganasan, diskriminasi dan sikap prejudis yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum,” katanya menerusi hantaran di X hari ini.
“Saya berharap agar semua rakyat Malaysia beradab dalam berinteraksi antara rakyat yang seharusnya sentiasa saling menghormati budaya dan mengamalkan nilai Faham, Hormat dan Terima,” katanya dalam satu ciapan di platform media sosial X.
Tambah Aaron, mangsa yang dikenali sebagai Elijah telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Tampoi, di sini.
Saya berharap semua pihak beri kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.
“Isu-isu yang menyentuh soal perpaduan tidak boleh dipandang remeh. Kita tidak boleh biar sebarang insiden yang boleh meruntuhkan keharmonian rakyat Malaysia,” ujarnya.
Semalam, video berdurasi 32 saat dan 44 saat berkaitan insiden yang berlaku di sebuah kedai serbaneka di sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini tular.