Hujan lebat berterusan mulai November

Musim tengkujuh yang dijangka berlaku bermula November depan hingga Mac 2025 bakal menyaksikan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan yang signifikan di beberapa negeri terutamanya di Pantai Timur.

Timbalan Pengarah (Strategik) Ambun Dindang berkata, episod hujan lebat Monsun Timur Laut (MTL) akan berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember.

“Pada Disember hingga Januari, hujan lebat pula dijangka lebih tertumpu Johor, Sabah dan Sarawak,” katanya ketika berucap di Forum Iklim Kebangsaan 2024 Monsun Timur Laut: Tindakan dan Cabaran Barisan Hadapan di sini pada Khamis.

Ujar beliau, hujan berterusan juga mungkin berlaku di negeri Pantai Barat sekiranya terdapat luruan monsun yang kuat atau kewujudan sistem tekanan rendah di rantau negara.

“Kebanyakan tempat dijangka mengalami jumlah hujan bulanan pada paras purata, kecuali beberapa kawasan di Utara dan Timur Semenanjung serta Timur Sabah yang dijangka menerima hujan sedikit di atas paras purata pada fasa awal MTL,” jelas Ambun.

Beliau berkata, dalam memantau cuaca semasa MTL, Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional (POCGN) yang beroperasi 24 jam sehari akan memberikan maklumat, ramalan cuaca dan amaran cuaca buruk apabila keadaan memerlukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here