Loke pemenang terbesar pemilihan DAP

Kuala Lumpur, Mac-
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook muncul sebagai pemenang terbesar dalam pemilihan parti hari ini, apabila desakan beliau supaya kepimpinan dikemudi generasi ketiga membuahkan hasil, menurut penganalisis.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata Loke berjaya menampilkan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) yang lebih muda dan majmuk, manakala Lim Guan Eng tersadung apabila ramai sekutunya gagal mendapat jawatan tertinggi.

Chin berkata pengaruh Guan Eng semakin berkurangan apabila penyokong utama beliau kalah, termasuk adiknya, Lim Hui Ying.

“Kempen terhadap keluarga Lim berjalan dengan baik. Anda boleh lihat adik dan penyokong teras kuatnya tidak menang.”

Guan Eng dipilih semula ke CEC di sebalik kempen untuk menyingkir beliau daripada jawatankuasa itu.

Namun, bekas menteri kewangan itu hanya menduduki tempat ke-26 daripada 30 calon teratas dari segi undian, dengan 1,719 undi.

Sidang CEC kemudian melantik beliau sebagai penasihat manakala Gobind Singh Deo, yang mengungguli persaingan, mengambil alih jawatan pengerusi.

Menurut Chin, keputusan pemilihan CEC kali ini menyaksikan kepelbagaian yang lebih baik, apabila calon Melayu dan Malaysia Timur terpilih ke saf kepimpinan tertinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here