Pelaburan ‘Goldmine International’-Empat ditahan

Polis menahan empat individu termasuk seorang dalang utama semalam kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan dikenali sebagai ‘Goldmine International’ yang melibatkan kerugian pelabur sebanyak RM930,920.

Kesemua suspek terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki tempatan itu berumur lingkungan 30 hingga 60 tahun, ditahan di sekitar Kedah, Selangor dan ibu negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata modus operandi sindiket ini menawarkan pelaburan emas yang tidak wujud dengan pelbagai pakej.

Beliau berkata antaranya, pakej pertama US$100 (RM420) dengan pulangan 10 peratus (keuntungan RM42/minggu tanpa had) dan pakej kedua US$500 (RM2,100) dengan pulangan 10 peratus (keuntungan RM210/minggu tanpa had).

“Pelabur akan diberikan satu pautan portal untuk menjana pelaburan ini tetapi pautan berkenaan telah ditutup,” katanya dalam sidang media JSJK di sini semalam.

Selain itu, sindiket itu juga menawarkan komisen tinggi kepada ejen melalui empat peringkat yang memperuntukkan komisen antara dua hingga 10 peratus bagi setiap pelanggan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here