Kuala Lumpur, Mac-
AirAsia berkata sebuah pesawat miliknya yang membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tengah malam tadi bukan mengalami masalah kebakaran enjin.
Syarikat penerbangan itu berkata, pesawat tersebut berpatah balik dan mendarat cemas di KLIA 2 akibat masalah kerosakan saluran udara atau ‘duct’ di salah satu enjinnya menyebabkan pelepasan udara panas.
“AirAsia mengesahkan tidak berlaku kebakaran enjin. Pesawat itu dijangka beroperasi semula Isnin ini,” kata dalam kenyataan.
Timbalan CEO Kumpulan AirAsia (Operasi Penerbangan), Chester Voo, yang dipetik sebagai berkata, kru penerbangan bertindak pantas dan mematuhi protokol keselamatan serta operasi ditetapkan.
“Juruterbang dan kru kabin kami terlatih untuk menangani situasi sebegini, dan pesawat berjaya mendarat dengan selamat tanpa sebarang insiden lanjut selepas prosedur yang sewajarnya dilaksanakan,” katanya.
AirAsia turut mengesahkan semua 171 penumpang selamat keluar dari pesawat dan dipindahkan ke penerbangan lain yang berlepas pada 3.46 pagi. Pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bao’an, Shenzhen, pada 7.51 pagi.




















