Pelabuhan Klang, Jun-
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merekodkan sejumlah 80 peratus kes dikenal pasti tidak memakai jaket keselamatan menjadi punca kehilangan nyawa ketika menjalankan aktiviti di laut sepanjang tahun lalu.
Pengarah Bahagian Operasi Udara Laksamana Pertama Maritim Mohd Tahir Khalid berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 226 kes insiden di laut direkodkan membabitkan 1,348 mangsa, 1,259 orang berjaya diselamatkan, 64 meninggal dunia, dan 25 masih hilang.
Menurutnya, bagi tahun ini sehingga 31 Mei lalu, sudah terdapat 108 kes membabitkan 251 mangsa, dengan 203 berjaya diselamatkan, 36 meninggal dunia, dan 12 masih hilang.
“Selalunya yang berlaku kecemasan ataupun kemalangan ini kebanyakan mereka tidak pakai jaket keselamatan. Kalau mereka ada jaket keselamatan, sekurang-kurangnya mereka boleh berapung di laut sementara menunggu bantuan tiba.
“Biasanya kematian atau kehilangan nyawa di laut (berlaku), hampir 80 peratus disebabkan oleh tiada peralatan keselamatan diri (tidak pakai jaket keselamatan) kerana apabila berlaku kapal terbalik atau terjatuh di laut, kita dapati mangsa tidak memakai alatan kecemasan pada waktu itu.
“Antara alasan (mereka) tidak mahu pakai peralatan kecemasan ini kerana (kata mereka) tidak memberi keselesaan, khususnya kepada mereka semasa melaksanakan aktiviti di laut. Tapi kita selalu sarankan mereka perlu pakai, terdapat pelbagai peralatan keselamatan diri bersaiz kecil dan mudah dibawa serta dipakai,” katanya.




















