Bagkok, Apr-
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini untuk lawatan kerja dua hari ke Thailand.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Terminal 2 Tentera Udara Diraja Thai dekat Don Mueang pada 1.20 tengah hari (waktu tempatan).
Timbalan Perdana Menteri Thailand Suriya Juangroongruangkit dan Kuasa Usaha ad interim Kedutaan Malaysia di Thailand Bong Yik Jui, berada di terminal untuk menyambut Perdana Menteri dan delegasi Malaysia.
Mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan perwakilan khas ASEAN ke Myanmar Tan Sri Othman Hashim.
Wisma Putra dalam kenyataan sebelum ini berkata sebaik tiba Anwar dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya Paetongtarn Shinawatra di Government House.




















