Kuala Lumpur, Apr-
Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam insiden serangan maut di Pahalgam, Kashmir pada Selasa, menurut Kementerian Luar(Wisma Putra).
Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata pihaknya, melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, sedang memantau rapi perkembangan itu susulan serangan bersenjata di destinasi pelancongan popular itu.
“Berdasarkan laporan terkini daripada pihak berkuasa, tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian itu namun keadaan sedang dipantau dengan teliti.
“Suruhanjaya Tinggi telah menghubungi ketua kumpulan agensi pelancongan dari Malaysia yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi dan kini berada di Kashmir. Ketua kumpulan tersebut telah melaporkan bahawa mereka berada dalam keadaan selamat,” menurut kenyataan itu.
Media melaporkan sekurang-kurangnya 26 orang terkorban apabila sekumpulan lelaki bersenjata tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah pelancong di Pahalgam, destinasi pelancongan terkenal di selatan Kashmir, pada Selasa. Pihak berkuasa menyifatkan serangan itu sebagai antara yang paling buruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini.




















