5 individu dikompaun MBPP kerana beri makan burung merpati di tempat awam

Georgetown, Mei-
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengeluarkan kompaun terhadap lima individu kerana sengaja memberi makanan kepada burung merpati di tempat awam.

Menurut MBPP dalam satu kenyataan melalui Facebook, hari ini, individu berkenaan dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut Seksyen 47(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 yang memperuntukkan kompaun RM250 bagi setiap kesalahan.

“Mereka juga boleh dikenakan tindakan mahkamah sekiranya masih ingkar atau tidak membayar kompaun bagi kesalahan terbabit.

“Mereka didapati sengaja membuang sisa makanan dengan tujuan memberi makan kepada burung merpati di tempat awam.

“Walaupun hebahan dan pendidikan awam sudah dilaksanakan oleh pihak MBPP, masih ada individu yang tidak mengendahkan nasihat berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, MBPP berkata, statistik pada April lalu merekodkan sebanyak 818 ekor merpati berjaya ditangkap dalam operasi kawalan populasi merpati berjadual di seluruh lokasi panas (hotspot).

Serentak dalam pelaksanaan operasi itu, MBPP melalui Jabatan Kesihatan Persekitaran juga berjaya memusnahkan sebanyak 36 sarang burung gagak pada April lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here