Kuala Lumpur, Mei-
Cadangan menaikkan had umur persaraan kepada 65 tahun boleh dilaksanakan di negara ini dengan pendekatan fleksibel iaitu mengikut pilihan, kesediaan dan keupayaan pekerja.
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE), J. Solomon, berkata ini bermakna pekerja perlu harus diberikan pilihan sama ada mahu bersara pada usia 60 tahun atau meneruskan kerja sehingga 65 tahun.
Katanya, fleksibiliti wajar diberikan bagi memenuhi keadaan semasa individu, pertimbangan kesihatan dan kesediaan kewangan peribadi.
“Cadangan terkini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk menaikkan umur persaraan Malaysia kepada 65 tahun bukan sekadar cadangan.
“Ia adalah seruan tindakan penting dan tepat pada masanya yang disokong NUBE.
“Namun, dalam menaikkan had umur bekerja maksimum kepada 65 tahun, pekerja masih harus diberikan pilihan untuk bersara pada usia 60 tahun, jika itu keinginan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Azalina dilaporkan berkata, kerajaan wajar mempertimbang had usia persaraan di Malaysia dinaikkan daripada 60 kepada 65 tahun, kerana berpendapat ramai yang berusia 60 tahun ke atas masih aktif.
Mengulas lanjut, Solomon berkata, terdapat lebih banyak kelebihan bagi menaikkan umur persaraan lima tahun lagi di sektor swasta dan awam, antaranya populasi Malaysia yang menua bermakna rakyat hidup lebih lama dengan menjalani kehidupan lebih sihat.
Bagaimanapun, beliau berkata, umur persaraan semasa iaitu 60 tahun mungkin menyebabkan individu produktif bersara terlalu awal, sekali gus membazirkan modal insan berharga.
Menyentuh cadangan itu daripada aspek sektor perbankan, katanya, berlaku penurunan ketara keahlian NUBE sejak 25 tahun lalu.
NUBE yang memiliki kira-kira 30,000 ahli sejak tiga dekad lalu, hanya berbaki 15,000 ahli pada masa ini.
“Bagi NUBE, tenaga kerja lebih senior memberi manfaat besar kepada industri perbankan kerana mereka memiliki pengalaman terkumpul selama berdekad dan pengetahuan tersirat yang tidak ternilai.





















