Malaysia terajui UN-Habitat

Shah Alam, Mei-
Malaysia secara rasmi dilantik sebagai Presiden Perhimpunan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Habitat) bagi penggal 2025 hingga 2029.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, pelantikan tersebut dipersetujui sebulat suara oleh 193 negara ahli Perhimpunan UN Habitat di Nairobi, Kenya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mengetuai delegasi Malaysia, Nga Kor Ming berkata, pengumuman tersebut dibuat ketika sesi Pemilihan Pegawai Biro.

“Sepanjang penggal ini, Malaysia akan memegang jawatan Presiden dan kerusi dalam Lembaga Eksekutif bersama rakan kami dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mewakili rantau Asia Pasifik.

“Komitmen bersama ini melambangkan solidariti serantau dan dedikasi terhadap kelestarian bandar.

“Bersama-sama, Malaysia akan memastikan perhimpunan ini merapatkan jurang antara aspirasi global dan realiti tempatan,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia mengambil alih jawatan tersebut dari Mexico yang mewakili rantau Amerika Latin dan Caribbean bagi penggal terdahulu.

Dalam pada itu, Kor Ming memaklumkan, pelantikan tersebut memperkukuhkan multilateralisme dan Agenda UN Habitat serta menyeru semua negara ahli menggandakan usaha melaksanakan Agenda Bandar Baharu.

“Pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan besar terhadap Malaysia apabila diberi kepercayaan oleh sebuah badan sejagat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dianggotai 193 negara.

“Inilah satu pencapaian bersejarah buat Malaysia. Ia bukan sahaja membuktikan negara kita kembali ke pentas antarabangsa di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah menyerlahkan pengaruh negara yang semakin berkembang di peringkat global.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here