Sabak Bernam, Julai-
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengambil masa lapan jam bagi membersihkan tumpahan bahan kimia di Jalan Besar Sabak Bernam, di sini selepas dua lori terbabit kemalangan, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 7.13 malam.
“Menurut laporan awal, berlaku tumpahan asid nitrik dari nahas membabitkan sebuah lori membawa muatan asid dan lori membawa muatan kelapa.
“Pemandu lori berusia 20-an bagaimanapun tidak cedera,” katanya dihubungi, hari ini. Ahmad Mukhlis berkata, pemeriksaan mendapati tumpahan asid nitrik 68 peratus sebanyak 40 drum dan calcium hypochlorite 70 peratus (24 drum).
Katanya, sisa bahan kimia itu kemudian dibersihkan dengan bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya jam 2.42 pagi tadi.





















