Seremban, Julai-
Lelaki warga emas maut dipercayai akibat lemas selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas ke dalam parit di Ladang Linggi Sv Guthrie, Rantau, di sini, malam tadi.
Kejadian kira-kira jam 9.50 malam itu disaksikan seorang anggota polis bantuan yang sedang bertugas sebelum memaklumkan kejadian kepada pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau, Mohd Syazwan Saidy berkata, pasukan menyelamat melakukan operasi sebelum mangsa ditemui jam 12.05 tengah malam dan disahkan meninggal dunia.
Beliau berkata, mangsa dikenali sebagai R. Nagarajan, 62, adalah seorang bekas pekerja estet dan beralamat di Ladang Marjorie, Rantau, di sini.
“Pada jam 12.05 tengah malam, mangsa dijumpai dan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, saksi iaitu polis bantuan di ladang berkenaan ketika bertugas di pondok polis ternampak mangsa hilang kawalan dan terbabas jatuh ke dalam parit.
“Dimaklumkan secara tiba-tiba mangsa terus tenggelam dan lantas menghubungi talian kecemasan MERS 999 untuk minta bantuan bomba.



















