Harga ayam segar lonjak lebih RM12 sekilogram Julai ini

Harga ayam segar diramal melonjak melebihi harga RM12 apabila skim harga maksimum runcit bahan mentah itu tamat akhir bulan ini. Setiausaha Persatuan Penternak Unggas (Kecil dan Sederhana) Negeri Johor, Lau Ka Leng, berkata kenaikan harga ayam itu adalah tindak balas normal pasaran terbuka apabila harga siling bahan mentah itu tidak lagi dikuatkuasakan bermula 1 Julai ini.

Namun katanya, kenaikan harga ayam segar itu dijangka bersifat sementara sehinggalah pengeluaran bekalan ayam berjaya distabilkan dan pulih sepenuhnya. Ya kita jangkakan harga ayam segar akan melonjak naik 1 Julai ini mengikut pasaran terbuka namun berala jumlah kenaikan itu masih tidak dipastikan.

Apatah lagi rantaian pengeluaran ayam masih lagi belum pulih sepenuhnya berikutan kekurangan tenaga kerja kritikal di ladang-ladang ayam selain kos operasi yang melonjak berikutan harga dedak yang terus melonjak naik. Ketika ini bekalan ayam hanya dapat ditambah 10 peratus sahaja dan kita juga berharap ia dapat distabilkan menjelang akhir bulan depan.

Faktor kenaikan harga ayam segar itu perlu dilihat kepada pasaran iaitu membabitkan kos operasi pengeluar dan peniaga selain trend pembelian semasa juga. Jika permintaan ayam segar kekal tinggi dengan bekalan tidak dapat dipenuhi sudah pasti harganya melonjak, apatah lagi bulan depan akan ada lagi musim perayaan raya Haji,” katanya ketika dihubungi.

Mei lalu, penternak ayam di negeri ini dilaporkan hanya mampu mengeluarkan 600,000 ekor ayam sehari, berbanding permintaan harian yang menjangkau lebih 1.4 juta ekor. Ka Leng dilaporkan berkata kekurangan hampir 40 peratus bekalan ayam itu juga dijangka akan berterusan sekurang-kurangya hingga separuh kedua tahun ini. Sebanyak 26 peratus bekalan ayam dikeluarkan negeri ini dilaporkan turut dihantar kepada pembekal di negeri berhampiran.

Dalam pada itu, Ka Leng berkata, harga ayam segar akan dapat diturunkan apabila pengeluaran ayam dapat distabilkan pengeluar. Katanya, ketika ini pengeluar masih bergelut mengisi tenaga kerja asing di ladang-ladang ternakan ayam mereka yang menjadi antara faktor utama pengeluaran ayam yang rendah sejak pandemik melanda.

Kita yakin apabila faktor pekerja asing dapat diatasi, pengeluaran ayam segar dapat ditingkatkan semula menjelang akhir tahun ini. Dengan bekalan ayam yang stabil dan meningkat semula di pasaran, sudah pasti harga ayam akan turut stabil dan turun berbanding ketika ini.

Kita juga yakin, selepas musim Raya Haji ini permintaan ayam akan sedikit menurun sekali gus mempengaruhi harga runcit ayam segar yang lebih rendah menjelang akhir bulan depan, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here