Johor Bahru, Sep-
Seramai 16 remaja ditahan dalam satu operasi khas membanteras aktiviti basikal lajak yang dijalankan di sekitar pusat bandar raya ini pada Ahad.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, kesemua remaja yang berusia antara 11 hingga 15 tahun itu ditahan bersama 16 buah basikal dalam operasi berkenaan.
“Operasi khas yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan bermula jam 11 pagi turut menyaksikan kesemua 16 basikal berkenaan disita.
“Sebanyak 16 keping saman POL. 257 turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti menunggang basikal tanpa brek, tanpa loceng dan tanpa lampu merah di bahagian belakang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kesemua basikal disita di bawah Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tujuan pemeriksaan lanjut.





















