Kuala Lumpur, Okt-
Lebih ramai artis daripada kaum India digalakkan memanfaatkan pelbagai bentuk pembiayaan yang ditawarkan MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCV), bagi membantu mengetengahkan dan mengembangkan karya kreatif mereka.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, kerajaan terus menyokong sektor kreatif melalui geran, skim pembiayaan dan pinjaman MyCV.
Bagaimanapun, penglibatan daripada komuniti India masih rendah berbanding jumlah keseluruhan penerima manfaat tersebut.
“Hingga 30 September lepas, sejumlah 234 penerima telah memanfaatkan Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang diuruskan oleh MyCV, dengan 206 penerima adalah dari Semenanjung, Sabah (16) dan Sarawak (12).
“Daripada jumlah itu, hanya lapan syarikat milik India yang keseluruhan menerima lebih RM700,000. Kita hendak melihat lebih banyak permohonan daripada komuniti India, selain syarikat milik kaum Cina dan pencipta dari Sabah serta Sarawak,” katanya pada sidang media mengenai kerjasama RTM-Astro yang diadakan bersempena perayaan Deepavali, di sini.
Beliau juga menggalakkan pemuzik, penerbit dan pencipta kandungan digital dalam kalangan masyarakat India mendapatkan panduan permohonan bagi dana DKK MyCV, yang terbuka kepada semua kaum bagi memastikan peluang sama rata termasuk kepada rakyat di Malaysia Timur dan kumpulan minoriti lain.





















