Kuala Terengganu, Okt 25.
Legenda bola sepak negara yang pernah membarisi skuad Olimpik Munich 1972, Harun Jusoh, 75, meninggal dunia semalam.
Beliau menghembuskan nafas terakhir di kediamannya kira-kira 4.15 petang semalam di Kampung Che Kundur, Batu Burok, di sini selepas lima tahun terlantar menderita sakit radang sendi.
Menurut isteri Harun, Sharifah Azizah Syed Omar, 72, arwah suaminya sebelum ini menghidap sakit saraf selepas bersara daripada bola sepak tetapi masih boleh bergerak dan bekerja.
Bagaimanapun, katanya, kesihatan arwah semakin merosot selepas menghidap penyakit radang sendi sejak 2018 dan hanya bergantung sepenuhnya kepada susu khas bagi kelangsungan hidup.
Sepanjang kariernya, bekas pemain sayap kiri Malaysia dan Terengganu era 70-an itu pernah beraksi bersama-sama pemain legenda negara termasuk Allahyarham Mokhtar Dahari, Santokh Singh, Soh Chin Aun, Allahyarham Ali Bakar dan mendiang R Arumugam.























