Kuala Lumpur, Mei-
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dianugerahkan Professor of Practice Asia e University (AeU) sempena majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SPRM dan universiti itu, di sini, pada Khamis.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, penganugerahan itu disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah AeU, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Halim sebagai mengiktiraf pengalaman lebih tiga dekad Azam dalam bidang integriti selain memacu agensi antirasuah itu ke arah mencapai misi dan visi dengan komitmen terhadap keadilan.
Menurut kenyataan itu, Azam dalam ucapannya merakamkan penghargaan atas pengiktirafan yang diterima khususnya dan kepada SPRM secara am.
Sementara itu, Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Mohd Hafaz Nazar dalam ucapannya berkata, penganugerahan dan pemeteraian MoU berkenaan akan membuka ruang kepada kerjasama baharu dalam pencegahan rasuah.




















