Kereta terbabas dalam parit – Lelaki rentung, 2 anggota polis parah!

Muar, Julai-
Seorang lelaki rentung selepas kenderaan dipandunya terbabas dalam parit ketika cuba melarikan diri daripada dikejar sebuah kereta peronda, berhampiran Jalan Benteng, Parit Kongsi 4, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan jam 4 pagi, dua anggota polis turut parah selepas kereta peronda dinaiki mereka terbabas ke dalam parit sama, dengan kedua-duanya kini menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata kemalangan itu dikatakan berpunca apabila kereta dipandu suspek cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.

Beliau berkata, sebelum kejadian, dua anggota polis berusia 40 dan 41 tahun dari cawangan kereta peronda sedang menjalankan tugas rondaan dan menahan suspek di pekan Parit Jawa, bagi tujuan pemeriksaan.

“Namun, suspek melarikan diri dengan memecut kereta Toyota Vios ke arah Parit Jamil. Pada masa sama, polis turut membunyikan siren amaran supaya suspek memberhentikan kenderaan sebaliknya terus memecut.

“Ketika usaha mengejar suspek dilakukan, kedua-dua kenderaan polis dan suspek terbabas dan memasuki parit sama.

“Selepas kemalangan itu, kereta dipandu suspek terbakar menyebabkannya rentung manakala dua anggota polis pula parah dan dikejarkan ke HPSF untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Raiz Mukhliz berkata, mayat suspek dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat serta menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identitinya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here