Fenomena air pasang besar di Kuala Kedah

Alor Setar: Fenomena air pasang besar yang mengakibatkan paras ombak tinggi sehingga mencecah 3.1 meter (m) dan menyebabkan beberapa kawasan Kuala Kedah dinaiki air awal pagi tadi. Tinjauan dilakukan bersama pegawai dan anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mendapati, paras air naik sedikit demi sedikit sehingga menenggelamkan jalan raya utama Pekan Kuala Kedah selain pasar Kampung Seberang Kota di situ.

Selain itu, rumah penduduk di kawasan berhampiran pekan Kuala Kedah turut terjejas akibat fenomena air pasang besar yang berlaku jam 1.17 pagi. Kawasan hadapan Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah juga turut dinaiki air selain beberapa kawasan berhampiran termasuk gerai makan turut dinaiki air. Peniaga kedai makan, Nazatul Akmal Abas, 34, berkata, kejadian air pasang besar berlaku sejak kelmarin menyebabkan dia tidak sempat mengangkat barang dalam kedai ketika fenomena itu berlaku jam 1 pagi.

Katanya, ketika itu, dia menutup awal kedai makan itu yang terletak hanya kira-kira 80 m dari pantai di Kota Marina Kuala Kedah kerana dimaklumkan akan berlaku air pasang besar pada waktu tengah malam. Saya tak sempat kemas barang dalam kedai dan pulang ke rumah pada 11.30 malam tapi apabila berpatah balik, saya nampak air penuh dalam kedai dan pergerakan air agak laju.

Memang pernah berlaku lima hingga enam kali fenomena air pasang tapi kali ini paling teruk kerana air masuk terlalu cepat hingga paras buku lali, katanya ketika ditemui di lokasi malam tadi. Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan Kota Marina di Kuala Kedah, selain sekitar kawasan itu sejak jam 10 malam tadi.

Beliau berkata, kelmarin, paras ombak meningkat sehingga 2.7 m namun malam tadi lebih teruk iaitu 3.1 m. Kita meletakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dan Jalan Raja untuk memantau keadaan di kawasan Kuala Kedah ini untuk memastikan keselamatan penduduk terjamin.

Ketika rondaan dilakukan, kita turut menasihatkan orang ramai terutama kaki pancing supaya menjauhi kawasan pantai kerana berdasarkan maklumat yang diterima, berpuluh kaki pancing datang ke situ pada jam 12 tengah malam semalam hingga 1 pagi namun mereka kemudian beredar selepas kawasan itu dinaiki air akibat air pasang besar, katanya. Mohamadul Ehsan berkata, berkemungkinan air pasang besar akan berlaku malam ini tapi ketinggian ombak diramal 3.0 m.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here